Tuesday, November 9, 2010

FALSAFAH DAN KAEDAH PEMIKIRAN

FALSAFAH DAN KAEDAH PEMIKIRAN: PERBANDINGAN PEMIKIRAN BARAT DAN PEMIKIRAN ISLAM DALAM MENYELESAIKAN MASALAH-MASALAH MANUSIA. Oleh: Abdul Rahman Hj Abdullah. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007. 209 halaman. ISBN 967-61-1360-3.

Proses berfikir melibatkan keupayaan menyelesaikan masalah atau daya usaha untuk mencapai sesuatu tujuan. Berfikir sebenarnya adalah proses atau perilaku menyelesaikan masalah. Proses ini menekankan kemungkinan manusia mula berfikir untuk menyesuaikan diri dengan alam dan persekitaran. Dari situ, minda mula beroperasi untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sukar. Proses berfikir sudah tentu menggunakan otak.

Otak dilihat sebagai satu sistem yang mengatur dirinya sendiri. Sistem ini membolehkan sebarang sumber yang diterima oleh otak mengolah dan membentuk pola-polanya yang tersendiri. Dari segi fisiologinya baik manusia ataupun binatang mempunyai otak. Malah dari segi bentuknya, tidak banyak beza antara otak manusia dengan otak binatang. Namun dari segi psikologinya, otak manusia sebenarnya jauh bezanya dari otak binatang. Ini kerana otak manusia boleh berfikir tetapi tidak bagi otak binatang (hlm 29).

Keupayaan otak untuk menyimpan maklumat memang menakjubkan. Otak mampu merekodkan lebih seribu maklumat baru setiap saat dan sepanjang masa dari saat bayi dilahirkan sehingga ke usia tua. Untuk mencapai keupayaan otak yang sebenar, halangan mental (mental block) yang berunsur negatif harus dihapuskan. Secara idealnya manusia yang hebat ialah mereka yang kreatif dan menggunakan keseluruhan potensi otaknya. Otak juga memerlukan tiga bahan nutrien yang utama iaitu oksigen, glukosa dan protein agar dapat mengekalkan fungsi yang baik (hlm 39).

Pengulas menampilkan buku yang amat menarik sekali dan komprehensif berkaitan dengan bentuk pemikiran manusia dan kaedah menyelesaikan masalah kehidupan yang pelbagai. Buku yang mengandungi 209 halaman memuatkan empat bahagian dan menganduni 13 bab. Bahagian 1 Falsafah dan Pemikiran mengandungi (bab 1: falsafah dan epistemologi, bab 2: kaedah-kaedah epistemologi, bab 3: neurologi dan pemikiran. Bahagian 2 Pemikiran Barat: Konsep dan Kaedah mengandungi (bab 4: pemikiran logik, bab 5 pemikiran saintifik, bab 6: pemikiran kreatif, bab 7: pemikiran lateral. Bahagian 3 Pemikiran Islam: Konsep dan Kaedah mengandungi (bab 8: aliran pemikiran Islam, bab 9: kaedah pemikiran Islam. Bahagian 4 Penyelesaian Masalah mengandungi (bab 10: Masalah manusia, bab 11: menyelesaikan masalah, bab 12: menyelesaikan masalah secara Islam.

Buku ini sudah melalui percetakan kali ke empat sejak cetakan pertama pada tahun 2002. Buku ini sebenarnya merupakan siri penerbitan bahan pembelajaran bagi pelajar jarak jauh Universiti Sains Malaysia. Buku ini sangat berguna kepada semua pelajar daripada institusi pengajian tinggi yang lain sebagai rujukan di dalam matapelajaran yang berkaitan disiplin masing-masing khususnya dan pembaca secara amnya.

Di dalam setiap bab juga dilampirkan keratan akhbar dan artikel tentang kaedah-kaedah pemikiran manusia atau masalah-masalah yang boleh membantu pembaca untuk mempraktikkan kaedah berfikir yang telah dinyatakan di dalam buku ini.

Secara amnya, penulis buku ini mengemukakan dua tradisi berfikir iaitu tradisi Barat dan tradisi Timur. Tradisi Barat mewarisi pemikiran logik, pemikiran saintifik, pemikiran kreatif atau lebih dikenali dengan pemikiran lateral. Tradisi Timur diwakili oleh pemikiran Islam, yang mempunyai kaedah ijtihad di samping menekankan kaedah ruhaniah.
Dari segi epistemologi, pada dasarnya pemikiran logik serta pemikiran kreatif dan pemikiran lateral dapat dikelompokkan sebagai pemikiran rasional. Sedangkan pemikiran saintifik merupakan pemikiran empirikal. Baik pemikiran rasional mahupun empirikal ini membolehkan manusia mengadaptasikannya ke dalam kehidupan dan membantu dalam menyelesaikan sebarang masalah dengan lebih berkesan lagi. Kaedah-kaedah pemikiran yang pelbagai menjadi asas pembentukan tamadun dan kemajuan tamadun manusia sama ada dari sudut fizikal, material dan intelektual.

Pengulas tertarik dengan kaedah pemikiran di dalam Islam yang mempunyai dasar dokongan dan sokongan kuat bersumberkan Al-Quran dan hadith berbanding pemikiran kaedah barat yang hanya berdasarkan kepada teori dan pemerhatian yang dibuat. Di dalam kaedah Barat, pemikiran-pemikiran tercetus hasil dari sejarah Yunani (bagi konsep pemikiran logik), revolusi sains (bagi konsep pemikiran saintifik), cetusan zaman sains dan teknologi (bagi konsep pemikiran kreatif) dan tradisi kreatif pengasasnya Edward de Bono (bagi konsep pemikiran lateral). Kaedah barat mempunyai pelbagai nama dan teori adalah hasil dari penampalan-penampalan idea baru yang memenuhi kekurangan di dalam sesuatu pemikiran yang mengikut peredaran zaman.

Bagi aliran pemikiran Islam boleh dibahagikan kepada dua aliran iaitu aliran pemikiran Islam klasik (aliran kalam, aliran Fiqh dan aliran tasawauf) dan aliran pemikiran Islam kini (aliran Tradisionalisme, aliran Modernisme dan aliran Reformisme). Apapun aliran di dalam pemikiran Islam ianya tetap bersumber kepada Al-Quran dan Hadith. Prinsip pemikiran Islam yang asasi ialah Aqidah atau Iman. Iman merupakan kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan tanpa sebarang syak dan ragu. Menurut ajaran Tauhid salaf yang dikenali Tauhid al-Asma’ wal-sifat, wajib bagi umat Islam yang beriman percaya kepada keesaan nama dan sifat Allah. Maka kaedah Iman yang terpenting ialah hakikat Allah itu sendiri baik dari segi Rububiyyah atau Uluhiyyah (hlm131-133).

Setelah mempunyai iman yang mantap barulah umat Islam digalakkan menggunakan akal mereka. Penggunaan akal di dalam Islam hanyalah di dalam persoalan yang tidak ada Nas yang jelas tentang kedudukan sesuatu hukum. Dengan menggunakan akal bermaksud melaksanakan ijtihad, iaitu berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan atau menetapkan hukum tentang sesuatu perkara berdasarkan dalil-dalil syarak (hlm 135). Terdapat lebih kurang enam kaedah ijtihad yang terdapat dalam perbahasan Ilmu Fiqh iaitu ijma’, qiyas, istihsan, istislah, istishab dan urf.

Di samping kaedah ijtihad yang dapat dianggap sebagai kaedah yang bercorak rasional, terdapat kaedah rohaniah yang bercorak moral dan spiritual. Kaedah rohani berasaskan pengenalan atau pengetahuan tentang hati yang baik dan yang buruk yakni sifat yang terpuji (mahmudah) dan tercela (mazmumah). Kaedah rohani mengutamakan pengetahuan tentang pembersihan jiwa (tazkiyyat al-nafs) dan kegiatan berfikir (tafakkur).

Buku ini juga amat menarik perhatian untuk diulas kerana menampilkan pelbagai bentuk kaedah berfikir di dalam menangani masalah-masalah manusia yang pelbagai. Masalah manusia itu terbahagi kepada dua iaitu masalah amali dan masalah abadi atau kadangkala dibahagikan kepada masalah segera dan masalah utama (hlm 158). Masalah amali merupakan masalah segera yang berkaitan dengan urusan seharian yang perlu diatasi segera. Antaranya ialah masalah politik, ilmu, ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan sebagainya (hlm 158). Masalah abadi pula merupakan masalah yang sangat utama. Persoalan-persoalan yang menjadi perhatian utama dalam masalah abadi ini seperti masalah kewujudan dan peranan Tuhan, usaha dan takdir, keabadian dan perubahan (hlm 160).

Dalam bab 11 penulis memberikan beberapa tiga kaedah penyelesaian di antaranya ialah penyelesaian melalui pemikiran (Intelligent Quotient), perasaan (Emotional Quotient) dan rohani (Spiritual Quotient). Di dalam kaedah penyelesaian melalui pemikiran penulis menampilkan tiga kaedah. Kaedah pertama ialah penyelesaian secara logik yang melibatkan proses rasional-deduktif (hlm. 171). Antara langkah-langkah penyelesaian masalah ini adalah mengenal pasti dan memahami premis masalah, mencari sebab dan punca masalah, menilai cara penyelesaian dan membuat kesimpulan. Manakala kaedah penyelesaian seterusnya adalah secara saintifik yang melibatkan proses empirikal-induktif seperti mengadakan hipotesis, mengumpul maklumat dan membuat kesimpulan. Kaedah ini dianggap paling popular dan berpengaruh sejak timbulnya abad penguasaan sains dan teknologi pada zaman moden (hlm174). Kaedah pemikiran yang terakhir adalah kaedah penyelesaian secara kreatif atau lateral. Kaedah ini telah dipopularkan oleh Edward de Bono yang memperkenalkan kaedah Enam Topi Berfikir dan kaedah Enam Kasut Bertindak (hlm 175).

Kaedah penyelesaian melalui perasaan (EQ) pula tidaklah menekankan kepintaran atau pemikiran seseorang individu tetapi lebih menekankan ciri sahsiah seseorang dalam menghadapi sesuatu situasi tertentu. Pendekatan ini sangat bergantung kepada kemahiran seseorang mengetahui dan menguruskan emosi. Yang diperlukan adalah mempunyai sifat tertentu seperti sabar, tenang dan waspada berbanding sifat seperti pemarah, gopoh dan prasangka dalam menghadapi sesuatu situasi atau masalah.

Penyelesaian melalui kerohanian (SQ) pula menekankan sumber pengetahuan melalui intuisi kejiwaan yang dalam ilmu psikologi dikenali sebagai ESP (extra-sensory perception). Kecerdasan spiritual adalah kemampuan potensi setiap manusia yang menjadikan ia dapat menyedari dan menentukan makna, nilai, moral, serta cinta terhadap kekuatan yang lebih besar dan sesama makhluk hidup, kerana merasa sebagai sebahagian dari keseluruhan. Sehingga membuat manusia dapat menempatkan diri dan hidup lebih positif dengan penuh kebijaksanaan, kedamaian, dan kebahagiaan yang hakiki.


Akhirnya, segala teori-teori pakar pemikir adalah benar dari sudut pemikiran, namun kita mesti berbalik kepada kuasa maha pencipta dalam segenap aspek pemikiran kita. Barulah kita boleh dikategorikan sebagai manusia yang berkeupayaan mengolah pola-pola pemikiran yang telah tercipta dalam minda kita. Sebagai manusia, kita juga harus berusaha untuk membantu diri kita setelah dijadikan sebagai makhluk yang sempurna.



Saleha Hj Idris
Pensyarah Psikologi
Jabatan Sains Sosial & Pendidikan
Kolej Dar al Hikmah
Ps: Artikel ini diterbitkan di dalam Jurnal JAwhar keluaran Akademi KAjian Ketamadunan.

No comments:

Post a Comment